Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan-Jabatan Bandaran telah memperkenalkan satu inisiatif dalam memudahcara pembayaran cukai bangunan di kawasan-kawasan perbandaran. Inisiatif tersebut adalah menyediakan kemudahan pembayaran cukai bangunan dalam talian (online) melalui mobile applications/ internet banking dengan kerjasama dua institusi kewangan perbankan di negara ini iaitu Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) dan Baiduri Bank Berhad. Perkhidmatan ini adalah sebagai salah satu alternatif kepada pelanggan (pembayar cukai bangunan) untuk menjelaskan cukai bangunan selain daripada membuat pembayaran di kaunter-kaunter Jabatan Bandaran yang ada pada masa ini iaitu bayaran secara tunai, kad kredit dan cek. Perkhidmatan ini, satu lagi milestone bagi jabatan-jabatan bandaran iaitu Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dan Jabatan Bandaran Tutong selaku agensi-agensi kerajaan yang memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.
Pembayaran cukai bangunan boleh dibuat secara online menerusi laman sesawang www.bibd.com.bn dan www.baiduri.com.bn dan juga melalui mobile applications: BIBD Mobile App dan Baiduri Personal i-Banking Mobile Application.
Dengan adanya kemudahan ini, ianya akan dapat memperkesankan dan seterusnya meningkatkan kutipan hasil cukai bangunan serta mengurangkan tunggakan Jabatan-Jabatan Bandaran. Selain itu, perkhidmatan ini akan dapat memberi kemudahan kepada pembayar cukai bangunan untuk menjelaskan tuntutan cukai bangunan pada bila-bila masa dengan mudah dan cepat, tanpa perlu datang ke kaunter pembayaran di Jabatan-Jabatan Bandaran di Bandar Seri Begawan, Kuala Belait dan Seria dan Tutong.
Majlis pelancaran pembayaran cukai bangunan secara online telah diadakan pada hari Selasa, 16 Jamadilawal 1440 bersamaan 22 Januari 2019 bertempat di Aras Bawah, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan yang telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Susulan daripada pelancaran ini, Jerayawara Pembayaran Cukai Bangunan Dalam Talian (Online) akan diadakan dengan tujuan untuk memberikan kefahaman tentang tatacara pembayaran cukai bangunan dalam talian kepada orang ramai terutama kepada pembayar cukai bangunan.
Jabatan-Jabatan Bandaran telah dan akan mengadakan jerayawara pada tarikh, tempat dan masa seperti berikut:
| Bil | Jabatan Bandaran | Tarikh | Tempat | Masa |
| 1. | Bandar Seri Begawan | Sabtu, 16 Mac 2019 | Annajat, Kg Mata-Mata | 10.00 pagi sehingga 4.30 petang |
| | | Isnin, 18 Mac 2019 | Times Square Shopping Centre | 10.00 pagi sehingga 4.30 petang |
| | | Khamis, 28 Mac 2019 | Lobby Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan | 9.30 pagi sehingga 4.30 petang |
| 2. | Kuala Belait dan Seria | Isnin, 25 Mac 2019 | Lobby Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria | 9.30 pagi – 12.00 tengah hari & 1.30 petang – 4.00 petang |
| 3. | Tutong | Sabtu, 23 Mac 2019 | Pejabat Jabatan Bandaran Tutong | 9.00 pagi – 12.00 tengah hari & 1.30 petang – 4.30 petang |
Orang ramai khususnya pembayar cukai bangunan adalah dialu-alukan untuk hadir ke jerayawara tersebut di atas dan seterusnya berinteraksi dengan pegawai dan kakitangan Jabatan-Jabatan Bandaran berhubung dengan tatacara pembayaran cukai bangunan di atas talian. Jika ada sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Jabatan-Jabatan Bandaran.