Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

Ahad, 5 Februari 2017 - YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI SEMPURNAKAN PELANCARAN APLIKASI MUDAH ALIH ‘SAFETY GUIDE’

IMG_4136[1].JPG

BANDAR SERI BEGAWAN – 5 Februari 2017. Dalam sama-sama memeriahkan lagi program 'Bandarku Ceria' yang diadakan pada setiap hari Ahad di ibu negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri hari ini telah melancarkan aplikasi mudah alih 'Safety Guide' bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Aplikasi mudah alih 'Safety Guide' yang dihasilkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dengan kerjasama pelbagai agensi ini bertujuan untuk mendidik dan memberi panduan asas kepada orang ramai sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang bentuk kecemasan atau bencana.

Antara isi kandungan aplikasi mudah alih tersebut ialah doa menolak bencana; tatacara memberi pertolongan cemas; tindakan-tindakan yang boleh diambil apabila berlaku kecemasan atau bencana; panduan keselamatan kebakaran; dan tindakan-tindakan bagi melindungi diri dari ancaman pengganasan.

Aplikasi mudah alih 'Safety Guide' boleh dimuat turun secara percuma di App Store bagi pengguna iOS dan Google Play bagi pengguna Android. Ianya boleh diakses dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih berkenaan dan mengambil inisiatif masing-masing untuk mempelajari maklumat yang dikongsikan agar mereka menjadi lebih waspada dan sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Turut hadir menyaksikan pelancaran aplikasi mudah alih 'Safety Guide' ialah Yang Mulia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN); Yang Mulia Awang Haji Idris bin Haji Mohd Ali, Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN; Yang Mulia Awang Haji Muhd Sunadi bin Haji Buntar, Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN; Yang Mulia Awang Abdul Rahim bin Haji Ismail, Pemangku Pengarah NDMC; Ketua-Ketua Jabatan di bawah KHEDN; dan para pegawai dan kakitangan KHEDN.

Sejurus selepas melancarkan aplikasi mudah alih 'Safety Guide', Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah menyaksikan aktiviti mewarna anjuran NDMC yang disertai oleh pengunjung kanak-kanak; dan pengagihan 'Buku Panduan Asas Kecemasan dan Keselamatan Awam' kepada orang ramai.

Created at 09/02/2017 15:55 by Noor Hidayatun Na'imah Binti Hj Amir Hidayat
Last modified at 09/02/2017 15:58 by Noor Hidayatun Na'imah Binti Hj Amir Hidayat