Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

PEMBUKAAN SEMULA AKTIVITI GERAI-GERAI JUALAN SEMASA PROGRAM BANDARKU CERIA (BKC) DAN TAMU MINGGUAN PASARNEKA TAMU TUTONG

​.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sukacita memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pandu COVID-19 setelah meneliti akan impak penularan wabak COVID-19 terhadap ekonomi termasuklah jua pada mendokong Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19, maka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ingin memaklumkan mengenai pembukaaan semula aktiviti-aktiviti perniagaan seperti berikut:-
 

A.      PEMBUKAAN SEMULA AKTIVITI GERAI-GERAI JUALAN SEMASA PROGRAM BANDARKU CERIA (BKC)

Merujuk Siaran Akhbar Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bertarikh 20 November 2021 mengenai dengan "Pembukaan Semula Program Bandarku Ceria" bermula pada hari Ahad, 16 Rabiulakhir 1443 bersamaan 21 November 2021 yangmana aktiviti yang dibenarkan hanyalah terhad kepada aktiviti Riadah yang dilakukan secara individu atau didalam jumlah kumpulan yang terhad sahaja, sukacita Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri memaklumkan bahawa bermula pada hari Ahad, 6 Jamadilakhir 1443 bersamaan 9 Januari 2022, aktiviti gerai-gerai jualan semasa Program Bandarku Ceria adalah dibenarkan untuk beroperasi semula. Lokasi bergerai ialah di kawasan Letak Kereta Jalan Bendahara iaitu berhadapan dengan Muzium Alat Kebesaran Diraja.


B.      PEMBUKAAN SEMULA TAMU MINGGUAN KOMPLEKS PASARNEKA DAN TAMU TUTONG (KPTT)

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri juga sukacita memaklumkan bahawa Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong yang telah ditutup sejak 12 Ogos 2021 disebabkan oleh penularan gelombang kedua COVID-19 akan diadakan semula seperti biasa pada setiap hari Khamis dan hari Ahad bermula pada hari Khamis, 3 Jamadilakhir 1443 bersamaan 6 Januari 2022. Tamu Mingguan tersebut akan beroperasi pada kadar kapasiti dan bilangan petak dan bangku berjaja seperti biasa (100%).


C.      GARIS PANDUAN BAGI PROGRAM BANDARKU CERIA DAN PEMBUKAAN SEMULA TAMU MINGGUAN KOMPLEKS PASARNEKA DAN TAMU TUTONG (KPTT)

 

Bagi memastikan garis panduan-garis panduan, peraturan-peraturan dan kawalan-kawalan operasi difahami dan dipatuhi oleh para penjaja, pihak Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan akan memberikan penerangan mengenai perkara ini dalam masa terdekat. Manakala Jabatan Bandaran Tutong akan mengadakan perjumpaan bersama para penjaja di dalam masa terdekat bagi memberikan taklimat dan penerangan mengenai garis panduan-garis panduan dan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi.

Pembukaan aktiviti gerai-gerai jualan semasa Program Bandarku Ceria dan Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong ini akan dilaksanakan mengikut garis panduan-garis panduan dan Standard Operating Procedures (SOPs) yang ditetapkan.  Para penjaja dan pelanggan dikehendaki untuk mematuhi Garis Panduan Fasa Awal Endemik bagi Pasar dan Gerai Terbuka, dalam Rangka Kerja Pemulihan COVID-19, yang berkuatkuasa pada masa ini.

 

Langkah-langkah pengawalan bagi Para Penjaja berpandukan kepada garis panduan-garis panduan dan syarat-syarat seperti berikut:-

1.1 Hanya penjaja yang berdaftar dengan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Bandaran Tutong dibenarkan berjaja di petak berjaja yang ditetapkan;

1.2 Penjaja dimestikan untuk menjalani ujian COVID-19 Antigen Rapid Test (ART) sebelum dibenarkan masuk dan mengikuti aktiviti berjaja.  Keputusan negatif bagi ujian ART hendaklah ditunjukkan kepada kakitangan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan atau Jabatan Bandaran Tutong yang bertugas di laluan masuk;

1.3     Hanya penjaja yang telah melengkapkan dua (2) dos vaksin dan mempunyai kod warna BruHealth HIJAU dan KUNING dibenarkan berjaja;

1.4     Dikehendaki untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi BruHealth;

1.5     Mana-mana penjaja dan pembantu yang kurang sihat adalah dinasihatkan untuk tidak hadir;

1.6     Dimestikan memakai sungkup muka (face mask) pada setiap masa;

1.7     Mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan atau mengunakan hand sanitizer; dan

1.8     Memastikan menjaga kebersihan dan sanitasi gerai.


Bagi Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong, setiap petak hanya dibenarkan seorang sahaja kecuali bagi petak masak-masakan dan salai-salaian dibenarkan dua (2) orang.

 
Manakala Para Pengunjung pula perlulah mematuhi garis panduan-garis panduan dan syarat-syarat seperti berikut:-

 

2.1 Mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki Gerai Jualan Bandarku Ceria atau Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong. Hanya individu yang mempunyai kod warna HIJAU atau KUNING akan dibenarkan masuk;

2.2 Individu yang sudah divaksin dan individu yang belum bervaksin dibenarkan hadir. Walau bagaimanapun, individu yang belum lengkap dua (2) dos suntikan vaksin atau langsung tidak bervaksin mestilah menunjukkan bukti keputusan Antigen Rapid Test (ART) negatif. Kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun yang belum menerima atau melengkapkan suntikan vaksin adalah dibenarkan hadir dengan syarat ditemani oleh orang dewasa yang telah melengkapkan vaksinasi mereka;

2.3 Dimestikan memakai sungkup muka (face mask) pada setiap masa;

2.4 Individu yang kurang sihat adalah dinasihatkan untuk tidak mengunjungi gerai;

2.5 Hendaklah mengamalkan penjarakkan sosial semasa mengunjungi gerai; dan

2.6 Mengamalkan kebersihan diri pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan atau menggunakan hand sanitiser.

Dengan pembukaan semula aktiviti gerai-gerai jualan semasa Program Bandarku Ceria dan juga Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negari menyarankan para penjaja dan juga para pengunjung gerai dan tamu untuk sentiasa memberikan kerjasama dan juga mematuhi arahan-arahan dan nasihat-nasihat yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut mengenai pembukaan semula aktiviti berjaja semasa Program Bandarku Ceria, orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan di talian 8778770.

Manakala bagi pembukaan semula Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong, orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Bandaran Tutong di talian 4221009 / 8282965.

-TAMAT-

 

KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI

29 Jamadilawal 1443H/3 Januari 2022M

Created at 05/01/2022 09:37 by Syamsul Fikri Bin Hj Takong
Last modified at 05/01/2022 09:37 by Syamsul Fikri Bin Hj Takong