Majlis Doa Selamat bagi Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya yang akan menunaikan Fardhu Haji Tahun 1446/2025 telah diadakan pada hari Khamis, 10hb Zulkaedah 1446H bersamaan 08hb Mei 2025M bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Majlis pada hari ini diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Keistimewaan Bulan Zulhijjah: Bulan Ibadah’ disampaikan oleh Yang Mulia Dr Haji Muhammad Shahrol Azmi bin Haji Muluk, Penolong Ra’es (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) selaku penceramah jemputan. Antara inti pati ceramah menyentuh tentang keistimewaan yang dikurniakan kepada para tetamu Allah serta amalan-amalan yang wajar diamalkan oleh kalangan mereka yang tidak mengerjakan haji, agar turut meraih ganjaran kebaikan yang setimpal dengan mereka yang menunaikan ibadah Haji. Ceramah menekankan keutamaan sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah sebagai waktu terbaik beribadah, seperti termasuk berpuasa, berzikir, ibadah korban, dan amal soleh. Ibadah haji turut ditekankan sebagai kemuncak pengorbanan, manakala para jemaah diseru untuk mempersiapkan rohani dan jasmani serta mengamalkan nilai tawakkal, sabar, bersangka baik dan bersedekah.
Majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan kepada 11 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya yang akan menunaikan Fardhu Haji Tahun 1446/2025 yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Majlis diakhiri dengan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

