gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Majlis Kesyukuran Dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit Yang Lahir Pada 15hb., Julai, 2024 Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan

09/10/2024

​1. Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit Yang Lahir pada 15 haribulan Julai 2024 Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78 Bagi Tahun 2024 telah diadakan pada hari Selasa, 10 haribulan Muharram 1446 bersamaan dengan 16 haribulan Julai 2024 bertempat di Hospital Raja Isteri Pengiran Ana​k Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan dan di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait.

2. Pada tahun ini seramai 19 anak damit telah dilahirkan pada 15 haribulan Julai 2024 di mana 15 anak damit telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan dan, 4 anak damit telah dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait.

3. Hadir selaku Tetamu-Tetamu Kehormat Majlis di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan ialah Yang Mulia Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili, isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II dan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli, isteri kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang seterusnya menyampaikan cenderamata wang yang dikreditkan ke dalam Akaun Simanja di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); barang keperluan anak damit dan ibu serta potret kenangan ibu-bapa dengan anak damit sumbangan daripada Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78 bagi Tahun 2024.

4. Pada Majlis berkenaan, Perbadanan TAIB turut menyumbangkan cenderamata kepada anak-anak damit berkenaan berupa wang tunai berjumlah $200.00 yang dikreditkan ke dalam Akaun Simanja di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan barang keperluan anak damit.

5. Manakala di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait, hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu, isteri kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. 6. Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut mengambil bahagian dengan memberikan sumbangan cenderahati berupa produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di Majlis yang diadakan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait.

7. Anak damit pertama telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan, pada jam 01.02 pagi kepada pasangan Dayang Nuur Syadzwani binti Abdul Kader dan Awang Ghani bin Rafaheh.

8. Anak damit terakhir telah dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait pada jam 18.39 petang kepada pasangan Dayang Nurul Izzati Naqibah binti Zaidi dan Awang Mohammad Norjayme @ Ahmadafifi bin Haji Mohd Sapami.