gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78 Bagi Tahun 2024

09/10/2024

Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali’ Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78 bagi Tahun 2024 telah diadakan pada hari Isnin, 23 haribulan Zulhijjah 1445H bersamaan dengan 01 haribulan Julai 2024 bertempat di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Upacara penerimaan dan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam berukuran 3.7mx7.5m telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Tetamu Kehormat Majlis, yang diikuti dengan penaikan dan pengibaran bendera. Majlis juga diteruskan dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran 2.5mx1.2m dan Poster-Poster Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78 Tahun 2024 kepada Pemangku Pegawai-Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Belait, Tutong dan Temburong.

Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam di daerah-daerah juga diadakan dan diteruskan dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Penghulu-Penghulu Mukim di daerah masing-masing sejurus selepas Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis bagi Daerah Brunei Muara ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohamad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; bagi Daerah Belait ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri; bagi Daerah Tutong ialah Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Timbalan Menteri (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi; dan bagi Daerah Temburong ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Timbalan Menteri (Sekuriti Dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri.

Dengan berkibarnya Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ini menandakan bermulanya pengibaran bendera peribadi masing-masing bagi Pengiran-Pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran; dan Bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai dan termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan sehingga 31 haribulan Julai 2024.