1. Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan lawatan kerja dan tinjauan ke Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujuh, Kuala Belait hari ini.
2. Lawatan kerja tersebut jua turut menyaksikan operasi yang dijalankan di pos kawalan imigresen tersebut terutama dalam pelaksanaan ujian Antigen Rapid Test (ART) bagi operator-operator pengangkutan dan essential travelers yang masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan.
3. Semasa lawatan kerja ini, Yang Berhormat Pehin turut mengadakan perbincangan dan perkongsian maklumat bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Polis Diraja Brunei yang bertugas di pos kawalan tersebut.
4. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sentiasa memberikan perhatian terhadap keperluan menjaga dan memelihara keamanan, keselamatan dan kesejahteraan orang ramai lebih-lebih lagi pada keadaan masa ini negara masih mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani penularan wabak COVID-19.
5. Lawatan kerja ini disertai oleh Awang Mohd. Amir Hairil bin Haji Mahmud. Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang); Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Awang Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan); dan Dayang Liza Suriani binti Haji Ibrahim, Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan; pegawai- pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan serta pegawai-pegawai dari pelbagai agensi Kerajaan yang bertugas di Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujuh.

