Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan Pameran Produk-Produk Transformasi Satu Kampung Satu Produk (1K1P) sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar `Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada hari Ahad, 01 Ogos 2021.
Pameran yang terdiri daripada 10 jenis produk Premium 1K1P dan 14 jenis produk Klasik 1K1P adalah produk-produk yang dihasilkan oleh seramai sembilan orang usahawan yang telah mengikuti Program Transformasi 1K1P pada tahun 2020. Mereka adalah sebahagian daripada sejumlah 19 orang usahawan yang telah berjaya dibimbing di bawah Program Transformasi 1K1P yang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) selaku pengendali kursus.
Pelaksanaan Program Transformasi 1K1P adalah bertujuan untuk meningkatkan pengurusan projek-projek 1K1P sedia ada kepada tahap sebuah entiti perniagaan sebenar termasuklah mempunyai tadbir urus korporat, pelan pampasan dan dokumentasi perniagaan yang teratur. Selain itu, usahawan-usahwan terlibat juga dilatih untuk menghasilkan produk-produk yang berkualiti dan mempunyai pembungkusan serta jenama yang bertaraf premium di pasaran.
Pameran produk-produk transformasi 1K1P sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara ini adalah bertujuan untuk mempromosikan lagi produk-produk 1 K1 P yang telah ditambah nilai dari segi rasa, warna dan rekabentuk mengikut permintaan semasa. Produk-produk ini juga telah ditambah baik dengan penggunaan pembungkusan produk dan label yang berkualiti bagi memenuhi piawaian yang telah ditetapkan.
lni selaras dengan hala tuju program 1K1P dan objektif Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam mengangkat dan memberikan pengiktirafan kepada produk-produk 1K1P yang berkualiti dan berpotensi untuk dikomersilkan di pasaran di samping menambah pendapatan, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan sosioekonomi kepada masyarakat sebagaimana yang dihasratkan dalam Wawasan Brunei 2035.

