gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English
Laman Utama > Berita > KHEDN Adakan Majlis Ibadah Korban

KHEDN Adakan Majlis Ibadah Korban

10/08/2022

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya hari ini mengadakan Majlis Ibadah Korban bertempat di Dewan Serbaguna Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jalan Landasan Lama, Berakas.

Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyempurnakan pengagihan daging-daging korban ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat ini merupakan aktiviti keugamaan tahunan KHEDN sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala, serta memberi peluang kepada warga KHEDN untuk mengerjakan ibadah korban sunat yang sangat dituntut dan tinggi nilainya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan takbir hari raya. Majlis kemudian diteruskan dengan mendengarkan ceramah khas ‘Cinta Allah Cinta Utama’ I’tibar dari kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alaihissalam yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid.

Pada tahun ini, sebanyak satu (01) ekor sapi dan dua (02) ekor kerbau telah dikorbankan.

Penerima-penerima daging korban terdiri dari kalangan warga KHEDN dan Jabatan-Jabatan di bawahnya dan 70 orang penerima dari Mukim Berakas ‘A’ dan ‘B’ yang berhak menerima.

Majlis dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan; pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.