Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama Helmi Abdullah Fitness, Brunei Fitness Club (BFC) dan Passionku telah menganjurkan Fire Fit Obstacle Challenge (FFOC) 2026, yang berlangsung di Dewan Serbaguna Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jalan Landasan Lama Berakas.
Berkenan berangkat menyertai Fire Fit Obstacle Challenge 2026 ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman.
Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi pembukaan dan seterusnya melepaskan para peserta bagi memulakan cabaran ialah Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategik, Dasar dan Korporat), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Acara Fire Fit Obstacle Challenge (FFOC) 2026 ini merupakan salah satu inisiatif untuk mempromosi gaya hidup sihat, kecergasan fizikal serta semangat kesukanan di kalangan orang ramai, di samping memperkukuhkan hubungan serta kerjasama antara Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan komuniti.
Fire Fit Obstacle Challenge 2026 mengetengahkan konsep cabaran kecergasan berintensiti tinggi yang diinspirasikan daripada format pertandingan kecergasan moden, dengan menggabungkan elemen larian, kekuatan, ketahanan fizikal, ketangkasan serta kerjasama berpasukan.
Penganjuran FFOC 2026 juga mengetengahkan elemen tugas dan peralatan kebombaan dalam beberapa cabaran yang dipertandingkan. Pendekatan tersebut bukan sahaja menjadikan pertandingan lebih unik dan mencabar, malah memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sebahagian daripada tuntutan fizikal yang berkaitan dengan tugas seorang anggota bomba.
Antara cabaran yang disediakan termasuk 500 meter larian, Foam Run, Hose Rolling, Squat with Hose, Lunges with Hose, Sled Push, Battle Hose serta Burpees Broad Jump.
Pertandingan tersebut dipertandingkan dalam tiga kategori, iaitu Duo Lelaki, Duo Wanita dan Duo Campuran, yang menguji keupayaan peserta dari segi kecergasan, stamina, kekuatan serta koordinasi bersama pasangan masing-masing.
Di sebelah petangnya, Yang Mulia Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi kategori-kategori yang dipertandingkan.

