gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

MAJLIS PELANCARAN ACARA KEMUNCAK JELAJAH KERJAYA 2026 DAERAH BRUNEI DAN MUARA

15/10/2026

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Acara Kemuncak Jelajah Kerjaya 2026 anjuran Pusat Pekerjaan Brunei (PPB), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di BRIDEX, Jerudong.

Jelajah Kerjaya 2026 menyaksikan penyertaan 113 pempamer yang menawarkan sebanyak 1,448 jawatan kosong. Bertemakan “Melangkah Menuju Masa Depan”, Jelajah Kerjaya 2026 dilaksanakan di keempat-empat daerah sebagai platform yang menghubungkan pencari kerja tempatan dengan majikan, di samping memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan latihan serta masyarakat dalam membangunkan ekosistem pekerjaan yang inklusif dan mampan. Selain peluang pekerjaan, acara ini turut mengetengahkan pembangunan kemahiran, keusahawanan, ekonomi gig dan laluan kerjaya alternatif bagi membantu anak-anak tempatan meneroka pilihan pekerjaan dan pendapatan yang bersesuaian dengan minat, kelayakan dan potensi masing-masing.

Sebanyak 113 pempamer yang mengambil bahagian terdiri daripada 78 syarikat swasta, 20 agensi kerajaan, dua badan berkanun, 11 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dua syarikat pelaburan langsung asing (FDI). Sebanyak 1,448 jawatan yang ditawarkan merangkumi pelbagai peringkat kelayakan, iaitu sekolah menengah dan ke bawah, teknikal dan vokasional, HND, ijazah sarjana muda serta jawatan tanpa syarat kelayakan khusus.

Turut hadir ke Majlis Pelancaran tersebut ialah Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap dari Kementerian-Kementerian berkenaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Pemangku Pegawai-Pegawai Daerah dari keempat-empat daerah, serta wakil-wakil agensi kerajaan, industri dan rakan-rakan strategik.