gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

RUN FOR H.O.P.E. 2026 PERKUKUH SOKONGAN KOMUNITI BAGI PEMULIHAN DAN REINTEGRASI SOSIAL

22/10/2026

Jabatan Penjara dengan kerjasama Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Zahara Charity Foundation, hari ini telah menganjurkan Run for H.O.P.E. 2026. Acara yang membawa mesej harapan, pemulihan dan peluang kedua ini diadakan di BIBD Connects, Taman Mahkota Jubli Emas.

Turut berangkat menyertai larian amal berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, yang berkenan menyertai kategori Wanita Terbuka bagi jarak 5 kilometer.

Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan yang dikendalikan oleh Jurulatih Jasmani dan Sukan Jabatan Penjara. Sesi tersebut diikuti dengan pelepasan peserta disempurnakan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nor Hamidah binti Haji Hamidon, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Acara Run for H.O.P.E. turut disertai oleh delegasi antarabangsa yang mewakili Jabatan Penjara Malaysia, Lembaga Pemasyarakatan Kalimantan Indonesia, Singapore Prison Service (SPS) dan Hong Kong Correctional Services Department (CSD). Penyertaan delegasi antarabangsa berkenaan mencerminkan jalinan kerjasama dan hubungan profesional yang erat antara institusi pemulihan di peringkat serantau dan antarabangsa. Di samping itu, penyertaan tersebut turut membuka ruang kepada pertukaran pengalaman dan amalan terbaik dalam pembangunan insan, pembinaan semula kehidupan serta sokongan komuniti.

Acara turut dimeriahkan dengan persembahan Pasukan Serunai dan Tambur Jabatan Penjara. Para pengunjung juga berpeluang mengunjungi gerai-gerai jualan yang dikendalikan oleh Aftercare Support Association, rakan-rakan seliaan serta vendorvendor jemputan yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan. Acara diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Yang Mulia Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Acara tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai lebih 516 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat. Acara amal ini mempertandingkan dua (02) kategori jarak, iaitu 10 kilometer dan 5 kilometer, dengan setiap kategori merangkumi empat (04) kategori pertandingan, iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran dan Wanita Veteran. Selain itu, larian santai sejauh 3 kilometer (Fun Run) turut diadakan bagi memberi peluang kepada keluarga dan orang ramai untuk turut serta menyatakan sokongan terhadap usaha pemulihan dan pemberian peluang kedua kepada bekas penghuni penjara.

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan sokongan komuniti terhadap usaha membantu bekas penghuni penjara membina semula kehidupan mereka serta kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif dan menyumbang secara positif kepada komuniti. Penganjuran acara ini turut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan Ke-56 bagi Tahun 2026.

Run for H.O.P.E. 2026 memperlihatkan komitmen bersama untuk mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif, di mana usaha pemulihan disokong dan peluang kedua diberikan ruang untuk berkembang. Sebagai rakan strategik Jabatan Penjara, BIBD turut memainkan peranan dalam menyokong pelbagai inisiatif yang menjurus kepada pendidikan, pembangunan kemahiran dan pemerkasaan individu. Kerjasama yang terjalin ini melengkapkan usaha pemulihan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara, sekali gus membantu mewujudkan lebih banyak peluang untuk individu membina semula kehidupan mereka dan kembali menyumbang secara positif kepada masyarakat.

Run for H.O.P.E. mencerminkan komitmen bersama antara agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat dalam memperkukuh usaha pemulihan serta reintegrasi sosial. Inisiatif seumpama ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa proses pemulihan tidak berakhir selepas seseorang dibebaskan dari penjara, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan agar mereka dapat membina kehidupan yang lebih stabil, produktif dan bermakna.