Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana Kali Ke-12 (12th AMMDM) dan Mesyuarat Persidangan Parti Kali Ke-13 (13th CoP) Kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) telah diadakan pada hari ini di The Empire Brunei, Jerudong.
Mesyuarat telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Negara Brunei Darussalam selaku Tuan Rumah dan Pengerusi kepada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana Kali Ke-12 (12th AMMDM). Perasmian Mesyuarat telah dihadiri oleh Menteri-Menteri dan Wakil-Wakil Negara Anggota ASEAN, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, Sekretariat ASEAN, Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam pengurusan bencana (Pusat AHA) dan Timor Leste sebagai pemerhati serta rakan dialog dari Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.
Semasa Majlis Perasmian Mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi dalam ucapannya telah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) atas sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam membina dan mengukuhkan usaha rantau ini dalam pengurusan bencana.
Yang Berhormat Menteri turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada negara-negara anggota ASEAN yang telah terjejas dengan kesan Taufan Tropika Yagi baru-baru ini dan menzahirkan rasa solidariti terhadap masyarakat yang terjejas. Seterusnya, Yang Berhormat Menteri juga mengambil maklum dan menghargai usaha dan sikap perpaduan yang ditunjukkan oleh negara-negara anggota ASEAN dan Pusat AHA dengan tindak balas yang pantas dalam mengerahkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.
Selaras dengan Tema pada tahun ini 'Building a Resilient ASEAN Through Inclusive and Sustainable Disaster Recovery', Yang Berhormat Menteri turut menyatakan mengenai kepentingan tindakan yang bersatu dalam pemulihan dan pembinaan semula pasca bencana. Yang Berhormat Menteri selanjutnya menekankan bahawa usaha pemulihan bukan sahaja harus teguh, bahkan ianya juga harus bersifat saksama dan inklusif terutamanya dalam memastikan bahawa semua individu khasnya wanita, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya adalah dikendalikan dengan sepadu tanpa meninggalkan sesiapapun.
Semasa Majlis Perasmian Mesyuarat tersebut juga, Yang Berhormat Menteri merakamkan penghargaan terhadap usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana ASEAN (ACDM) dalam membimbing dan menyelia pelaksanaan Program Kerja ADDMER 2021-2025, serta Lembaga Pengelola Pusat AHA dalam memberi panduan bagi mengoperasikan Pusat AHA. Perancangan strategik untuk masa depan adalah penting dan ianya memerlukan pelaksanaan langkah dan penyelesaian yang mampan.
Oleh yang demikian, pencapaian dalam kedua-dua bidang dasar dan operasi adalah penting dalam mencapai aspirasi Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER), Deklarasi ASEAN mengenai Satu ASEAN, Satu Respons: ASEAN Bertindak Balas Terhadap Bencana sebagai Satu Rantau dan Visi ASEAN 2025 mengenai Pengurusan Bencana, dan dalam memenuhi objektif Pelan Induk Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) 2025.
Pada sidang luar Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana Kali Ke-12 (12th AMMDM), Menteri-Menteri ASEAN telah menghadiri mesyuarat bersama rakan dialog iaitu Mesyuarat AMMDM Bersama Republik Rakyat China Kali Ke-4, Mesyuarat AMMDM Bersama Jepun Kali Ke-4, dan Mesyuarat AMMDM Bersama Repubik Korea Kali Ke-3. ASEAN sangat menghargai sokongan berterusan daripada Republik Rakyat China, Jepun, dan Republik Korea dalam sama-sama memperkukuhkan kesiapsiagaan bencana serta membina ketahanan dan kapasiti melalui penerusan projek-projek pembangunan kapasiti, pembiayaan dan bantuan kemanusiaan di ASEAN.
Mesyuarat tersebut juga diteruskan dengan Majlis Penandatanganan Memorandum of Intent (MOI) dan Pelancaran beberapa Projek ASEAN yang telah disaksikan oleh Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana Kali Ke-12 (12th AMMDM), iaitu Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Negara Brunei Darussalam.
Mesyuarat pada hari ini diakhiri dengan acara penyerahan kepada pihak Kerajaan Kemboja sebagai Pengerusi yang akan mengambil alih kepimpinan badan sektor yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan pada tahun 2025.