BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Oktober 2026 – Jabatan Penjara dan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dengan kerjasama AIZ Event Management selaku pengendali acara telah menganjurkan Ekspo Produk Penjara Se-Borneo, yang berlangsung selama tiga (03) hari bermula pada 16 hingga 18 Oktober 2026 bertempat di Kawasan Lapang Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis pembukaan rasmi ekspo tersebut ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Hamidah binti Haji Hamidon, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Turut hadir, Pemangku Pengarah Penjara dan Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan selaku Pengerusi Bersama Majlis dan Ketua-Ketua Jabatan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Muhd Yusri bin Othman, Guru Ugama Institusi Penjara Maraburong Fasa III, Jabatan Penjara. Acara diteruskan dengan tayangan video mengenai Program Pemerkasaan Pemulihan Jabatan Penjara, yang memaparkan pelbagai inisiatif dan usaha yang dilaksanakan dalam memperkasa program pemulihan, pembangunan kemahiran serta persediaan para penghuni untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
Majlis diteruskan dengan perasmian Ekspo Produk Penjara Se-Borneo 2026 oleh Tetamu Kehormat, diikuti dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas penglibatan dan sokongan mereka dalam menjayakan ekspo berkenaan. Tetamu Kehormat seterusnya mengadakan lawatan ke ruang pameran dan jualan, yang menampilkan pelbagai hasil tangan, produk perusahaan serta karya kreatif daripada institusi penjara Brunei Darussalam dan Penjara-Penjara Borneo.
Penganjuran Ekspo Penjara Se-Borneo 2026 merupakan salah satu platform yang disediakan bagi mengetengahkan hasil kreativiti dan kemahiran para penghuni yang diperoleh menerusi pelbagai program pemulihan, latihan vokasional dan pembangunan kemahiran yang dilaksanakan di institusi penjara.
Ekspo berkenaan menampilkan pelbagai hasil tangan, produk perusahaan dan karya kreatif daripada yang dihasilkan oleh institusi penjara di Brunei Darussalam dan Borneo, termasuk Penjara Pusat Limbang dan Penjara Pusat Miri serta Lembaga Pemasyarakatan Kalimantan, Indonesia.
Sepanjang tiga hari berlangsung, orang ramai berpeluang mengunjungi pelbagai pameran dan demonstrasi, di samping mendapatkan produk-produk hasil tangan yang dihasilkan oleh para penghuni. Antara produk yang dipamerkan dan ditawarkan termasuk perabot, hasil kerja kayu, kraftangan, kaligrafi, ukiran, hiasan rumah, cenderamata, produk jahitan, bakul dan hasil anyaman serta pelbagai perusahaan makanan.
Selain pameran dan jualan produk hasil perusahaan penghuni penjara, ekspo ini turut menampilkan penyertaan pengusaha dalam kalangan Rakan Seliaan serta pengusaha di bawah Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang mempamerkan dan memasarkan pelbagai produk keluaran tempatan. Penyertaan ini bukan sahaja mempelbagaikan pilihan produk yang ditawarkan kepada para pengunjung, malah turut membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk memperkenalkan, mempromosikan dan memperluas pasaran hasil perusahaan masing-masing kepada orang ramai.
Kepelbagaian produk yang diketengahkan bukan sahaja memperlihatkan bakat dan kreativiti para penghuni, malah mencerminkan kemahiran praktikal yang telah dibangunkan melalui latihan dan program pemulihan yang berterusan. Produk-produk berkenaan turut ditawarkan pada harga yang berpatutan, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan barangan yang mempunyai nilai seni, kegunaan dan keunikan tersendiri.
Selain menjadi platform jualan dan pameran, Ekspo ini turut membawa mesej penting mengenai usaha pemulihan dan reintegrasi sosial para penghuni penjara. Hasil karya yang dipamerkan mencerminkan usaha, kesungguhan dan kemahiran yang dibangunkan oleh para penghuni sebagai persediaan untuk membina kehidupan yang lebih produktif selepas menjalani tempoh hukuman.
Sokongan orang ramai melalui pembelian produk-produk berkenaan bukan sahaja menghargai usaha dan hasil kerja para penghuni, malah turut memberikan dorongan dan motivasi kepada mereka untuk terus mengembangkan potensi serta kemahiran yang dimiliki. Sokongan ini turut mendukung usaha Jabatan Penjara dalam menyediakan peluang pembelajaran, pembangunan kemahiran dan latihan vokasional sebagai persediaan para penghuni untuk menjalani kehidupan yang lebih produktif selepas pembebasan.
Penyertaan institusi penjara dari Borneo turut menjadikan ekspo ini sebagai platform bagi mengetengahkan kepelbagaian hasil perusahaan serta menggalakkan perkongsian pengalaman dan amalan dalam bidang pemulihan, pembangunan kemahiran dan reintegrasi penghuni dalam kalangan institusi penjara serantau.
Secara keseluruhannya, penganjuran Ekspo Produk Penjara Se-Borneo 2026 diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan program pemulihan serta pembangunan kemahiran yang dilaksanakan oleh institusi penjara. Ekspo ini juga diharap dapat terus memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi penjara serantau, khususnya dalam perkongsian pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik berkaitan pemulihan serta pembangunan kemahiran penghuni. Pada masa yang sama, sokongan dan penglibatan masyarakat juga diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Jabatan Penjara dalam membantu para penghuni menjalani proses pemulihan dan seterusnya kembali berperanan sebagai anggota masyarakat yang produktif dan bertanggungjawab.

