SINGAPURA, 30 APRIL 2026 – Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Persidangan dan Pameran Milipol TechX 2026 yang berlangsung selama tiga (3) hari di Marina Bay Sands Expo and Convention Centre, Republik Singapura bagi memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka inovasi terkini dalam keselamatan awam.
Persidangan anjuran Singapore Home Team Science and Technology Agency bersama GIE Milipol ini menghimpunkan pemimpin kerajaan, pakar industri dan ahli akademik untuk membincangkan perkembangan teknologi canggih termasuk Artificial Intelligence (AI), keselamatan siber, robotik serta sistem autonomi dalam memperkasa keupayaan keselamatan awam. Perbincangan turut menekankan kepentingan tadbir urus teknologi yang beretika, ketelusan serta kepercayaan awam dalam penggunaan AI, selaras dengan tema “Supercharging Innovation Today for Our Safer Tomorrow”.
Dalam rangka lawatan tersebut, Yang Berhormat Menteri juga mengadakan lawatan teknikal ke HOPE Technik bagi melihat lebih dekat perkembangan pembinaan Light Fire Attack Vehicle (LFAV) sebagai aset tindak balas pantas bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Brunei. Aset ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi melalui mobiliti tinggi, keupayaan respons awal yang pantas serta penggunaan teknologi pemadaman moden, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan dalam menangani insiden kecemasan secara lebih efektif.
Penyertaan dalam Milipol TechX 2026 serta lawatan-lawatan teknikal yang diadakan mencerminkan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam memperkasa keupayaan keselamatan awam melalui pemodenan teknologi, pengukuhan kerjasama strategik antarabangsa serta penerapan amalan terbaik, ke arah mewujudkan sistem keselamatan yang lebih proaktif, berdaya tahan dan responsif.

