gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Majlis Ibadah Korban Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Dan Jabatan-Jabatan Di Bawahnya Anjuran Jabatan Penjara Bagi Tahun 1447H/2026M

30/05/2026

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Ibadah Korban yang dianjurkan oleh Jabatan Penjara selaku pengendali majlis bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini pada hari Sabtu, 12hb Zulhijjah 1447H bersamaan 30hb Mei 2026 bertempat di Surau Taubatus Salihin, Institusi Penjara Maraburong Fasa III.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan laungan Takbir Hari Raya yang diketuai oleh Ustaz Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor Penjara. Majlis turut diserikan dengan ceramah bertajuk “Aidiladha: Manifestasi Syukur dan Pengorbanan Dalam Islam” yang disampaikan oleh Yang Mulia Mohammed Khairul Mu’az bin Haji Sibodaud, Da’ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, serta persembahan qasidah daripada Majlis Selawat Al-Muslihun yang terdiri daripada penghuni-penghuni Penjara Maraburong Fasa III.

Majlis seterusnya diikuti dengan penyampaian daging korban kepada seramai 38 orang Asnaf yang telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Ramlan bin Hj Jais, Guru Ugama Institusi Penjara Maraburong Fasa III.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap – Setiausaha Tetap, Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap – Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pegawai- Pegawai dan Kakitangan, Jabatan Penjara.

📸: @bruneiprisondepartment