Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit Yang Lahir pada 15 haribulan Julai 2022 Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-76 Bagi Tahun 2022 telah diadakan pada hari Sabtu, 16 haribulan Zulhijjah 1443 bersamaan dengan 16 haribulan Julai 2022 bertempat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli, isteri Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Seramai 10 orang anak damit telah dilahirkan pada 15 Julai 2022 iaitu seramai lapan orang anak damit dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), manakala dua orang anak damit dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Kuala Belait.

