gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

MAJLIS KESYUKURAN DAN PENYAMPAIAN CENDERAMATA KEPADA ANAK-ANAK DAMIT YANG LAHIR PADA 15 JULAI 2026 SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE-80 BAGI TAHUN 2026

16/07/2026

Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit Yang Lahir pada 15 haribulan Julai 2026 Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 bagi Tahun 2026 telah diadakan pada hari Khamis, 01 haribulan Safar 1448 bersamaan dengan 16 haribulan Julai 2026 bertempat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Daerah Brunei dan Muara serta Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait.

Pada tahun ini seramai 22 anak damit telah dilahirkan pada 15 haribulan Julai 2026, iaitu 15 anak damit telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, 5 anak damit telah dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan dan 2 anak damit telah dilahirkan di Jerudong Park Medical Centre. Anak damit pertama dan anak damit terakhir bagi kelahiran pada 15 Julai 2026 masing-masing telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) ialah Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli, isteri kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD). Sementara itu, di Jerudong Park Medical Centre (JPMC), hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Hajah Dayang Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, isteri kepada Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Bagi Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Datin Zubaidah binti Haji Mahmud, isteri kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Pada majlis tersebut, Tetamu-Tetamu Kehormat Majlis telah menyampaikan cenderamata berupa potret kenangan ibu bapa bersama anak damit dan hadiah hamper keperluan anak damit dan ibu, sumbangan Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 bagi Tahun 2026. Turut disampaikan ialah sumbangan daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) berupa hamper barangan keperluan anak damit bernilai BND60.00 serta wang tunai berjumlah BND200.00 yang dikreditkan ke dalam Akaun Simanja. Selain itu, Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian Berhad berserta anak-anak syarikatnya turut menyumbangkan Pelan Takaful Siswa bernilai BND240.00 bagi tempoh setahun. Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut menyumbangkan pembukaan akaun simpanan bank dengan deposit permulaan bernilai BND250.00 kepada setiap anak damit yang dilahirkan pada 15 Julai 2026.