gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Majlis Kesyukuran Dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit Yang Lahir Pada 15hb., Julai 2023 Sempena Sambutan Perayaan

29/07/2023

​1. Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit Yang Lahir pada 15 haribulan Julai 2023 Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-77 Bagi Tahun 2023 telah diadakan pada hari Ahad, 27 haribulan Zulhijah 1444 bersamaan dengan 16 haribulan Julai 2023 bertempat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan.

2. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli, isteri Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang seterusnya menyampaikan cenderamata berjumlah $50.00 yang dikreditkan dengan membuka Akaun Simanja di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); barang keperluan anak damit bernilai $130.00; dan potret kenangan ibu-bapa dengan anak damit sumbangan daripada Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-77 bagi Tahun 2023.

3. Pada Majlis berkenaan, Perbadanan TAIB turut menyumbangkan cenderamata kepada anak-anak damit yang disampaikan oleh Yang Mulia Datin Hajah Khalsom binti Haji Suhaili, isteri Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

4. Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit Yang Lahir pada 15 haribulan Julai 2023 juga diadakan di Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis bagi JPMC ialah Yang Mulia Dayang Hajah Siti Ainun Jariah binti Haji Mohd. Ja’afar, isteri Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB) ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mahyun binti Dato Paduka Haji Manan, isteri Yang Mulia Awang Haji Ahmad Nizam bin Dato Paduka Haji Ismail, Timbalan Setiausaha Tetap (Perundangan, Antarabangsa dan Penyelidikan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

5. Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) juga turut mengambil bahagian dengan memberikan sumbangan cenderahati berupa produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di Majlis yang diadakan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait.

6. Bagi Daerah Brunei Muara, seramai sembilan (9) anak damit telah dilahirkan di Hospital RIPAS dan seorang anak damit telah dilahirkan di Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan bagi Daerah Belait, tiga (3) anak damit telah dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB).

7. Anak damit pertama telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), pada jam 1.18 pagi dan anak perempuan kepada pasangan Dayang Nurfarahiyah binti Haji Muhammad Safri dan Awang Nazari bin Talip. 8. Anak damit terakhir telah dilahirkan pada jam 8.41 malam di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait dan anak perempuan kepada pasangan Dayang Nur Amalina binti Awg Latip dan Syed Hafiydzur Riydhaa bin Malai Hassan.