Jabatan Penjara melalui Bahagian Pemulihan dan Reintegrasi Penjara telah melakar satu lagi langkah penting dalam memperkukuh usaha pemulihan penghuni menerusi pelancaran Projek Penanaman Padi Hibrid di Penjara Maraburong pada hari Sabtu, 26 September 2026.
Inisiatif ini menyediakan platform pembangunan kemahiran dan pengalaman praktikal kepada penghuni dan turut menyokong aspirasi negara dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta pembangunan modal insan yang berdaya tahan dan produktif.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Turut hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pemangku Pengarah Penjara, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dan Badan Penasihat Syariah BIBD, Ketua-ketua Jabatan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan pegawai-pegawai kanan BIBD.

