1. Majlis Pelancaran Rangka Kerja Kompetensi Sumber Manusia bagi Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung telah diadakan pada hari Sabtu, 21 haribulan Ramadhan 1446H bersamaan dengan 22 haribulan Mac 2025 bertempat di Dewan Serbaguna, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
2. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
3. Acara pada pagi ini telah menyaksikan pelancaran dengan tayangan mengenai Human Resource Competency Framework Penghulu Mukim dan Ketua Kampung (HRCF PMKK) yang antara lain memaparkan mengenai kepentingan kompetensi yang ditetapkan bagi memastikan setiap Penghulu Mukim dan Ketua Kampung mempunyai kemahiran dan kebolehan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaku pemimpin akar umbi yang berperanan sebagai Mata, Telinga dan Lidah kepada Kerajaan dan peranan mereka kepada penduduk kampung dalam menjaga, memeduli serta mengawasi kepentingan, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan kampung. Kompetensi-kompetensi berkenaan terbahagi kepada kompetensi teras (core), kompetensi kepimpinan (leadership) dan kompetensi fungsi (functional). Selain dari itu, Rangka Kerja Kompetensi Sumber Manusia ini akan dapat mengenalpasti jurang kompetensi setiap Penghulu Mukim dan Ketua Kampong yang demikian dapat mengenalpasti program pengukuhan kapasiti yang diperlukan.
4. Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di kalangan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung dan Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.
5. Objektif Pelaksanaan Rangka Kerja Kompetensi Sumber Manusia bagi Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung ini adalah antara lainnya bagi membantu dalam proses pengambilan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung berasaskan kepada kompetensi; perancangan program latihan dan pembangunan kapasiti yang berstruktur; dan pengurusan prestasi bagi memperkasakan dan memastikan pemimpin akar umbi yang berkualiti.

