Majlis Pemantauan Memulakan Bacaan Ayat-Ayat Suci AlQuran Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Penuntut-Penuntut Sekolah Seluruh Negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-80 bagi Tahun 2026 telah diadakan hari ini bermula selepas Sembahyang Fardu Asar Berjemaah bertempat di masjid-masjid terpilih di setiap daerah.
Majlis Pemantauan Bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran berkenaan adalah kesinambungan daripada Majlis Pelancaran Memulakan Bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam yang diadakan pada hari Khamis, 13 haribulan Syawal 1447 bersamaan 02 haribulan April 2026 lalu di masjid-masjid terpilih di setiap daerah.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis pemantauan diadakan di Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kg. Kiarong. Hadir memantau di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku tetamu kehormat.
Di Daerah Belait, majlis seumpamanya diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait. Hadir memantau di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri selaku tetamu kehormat.
Di Daerah Tutong pula, majlis diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Pemantauan dikepalai oleh tetamu kehormat, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Manakala di Daerah Temburong, majlis pemantauan telah diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Hadir memantau di daerah ini ialah Setiausaha Tetap, Urustadbir Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Awang Ajman bin Haji Meludin selaku tetamu kehormat.
Acara dimulakan dengan sembahyang Fardhu Asar dan disusuli dengan bacaan surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat di daerah masing-masing. Ini diikuti Majlis Membaca Ayat-Ayat Suci Al-Quran beramai-ramai secara persendirian. Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat.
Para peserta bagi pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran di kesemua daerah, seramai 1,708 orang, terdiri dari kalangan Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, penuntut-penuntut sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi di keempat-empat daerah mengikut kategori dewasa lelaki dewasa wanita, termasuk peserta dari Pertubuhan Wargamas, belia dan beliawanis (berumur 13 tahun hingga 20 tahun) yang terpilih dan mewakili mukim dan kampung.
Turut dilibatsama ialah penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah-Sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran remaja dan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah Arab, sekolah-sekolah ugama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta penuntut-penuntut sekolah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan termasuk institusi-institusi pengajian tinggi.
Hadir di majlis ini ialah Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku-Pemangku Pegawai Daerah di daerah masing-masing, Ketua Pegawai Ugama Daerah, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah masingmasing, Pegawai-Pegawai Ugama, Bilal-Bilal, dan Ahli-Ahli Takmir Masjid.

