Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura pada hari ini telah menyaksikan penyerahan empat buah Light Fire Attack Vehicle (LFAV) dari HOPE Technik Singapura kepada Brunei Engineering, Logistics and Training Solutions (BELTS). Majlis telah diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Ketibaan Tuan Yang Terutama Lawrence Wong disambut oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Tuan Yang Terutama Lawrence Wong telah berkesempatan untuk menandatangani lembaran kenangan sebagai satu tanda penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atas kunjungan beliau.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat. Dalam ucapannya, beliau sedikit sebanyak menyentuh mengenai jalinan baik di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Singapore Civil Defence Force melalui memorandum persefahaman yang telah berjalan sejak tahun 2022. Beliau juga telah menyentuh mengenai projek perolehan Light Fire Attack Vehicle (LFAV) yang mengguna pakai teknologi dari Singapura. Perolehan ini dijangka dapat mempertingkatkan keupayaan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat khususnya dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan keberkesanan tindak balas terhadap sebarang situasi kecemasan.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video yang memaparkan HOPE Technik, iaitu syarikat kejuruteraan dan teknologi yang berpangkalan di Singapura yang khusus dalam pembangunan kenderaan khas, automasi, sistem tanpa pemandu. Tayangan tersebut turut memberikan gambaran mengenai proses penghasilan empat (04) buah LFAV, di samping memaparkan hubungan kerjasama dan perkongsian pengalaman yang terjalin antara kedua-dua negara dalam bidang berkenaan.
Tayangan video tersebut juga mengetengahkan penglibatan seramai 39 orang alumni pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat yang pernah mengikuti kursus di Singapura, sekali gus mencerminkan hubungan kerjasama dan perkongsian pengetahuan yang telah terjalin antara kedua-dua pihak.
Seterusnya, Tuan Yang Terutama menyaksikan upacara penyerahan replika kunci (mock key) oleh pihak pembekal, HOPE Technik dan Brunei Engineering, Logistics and Training Solutions, kepada Yang Mulia Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat sebagai simbolik penyerahan dan penerimaan empat (04) buah LFAV berkenaan. Selanjutnya Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Singapura berkesempatan melihat lebih dekat jentera LFAV yang dipamerkan di kawasan letak kereta serta menerima taklimat ringkas mengenai keupayaan dan peralatan yang dilengkapi pada jentera berkenaan.
Sebelum meninggalkan majlis, Tuan Yang Terutama berkesempatan bersalaman dan beramah mesra dengan para pegawai yang hadir. Kesempatan tersebut turut dimanfaatkan oleh para hadirin untuk berinteraksi bersama Tuan Yang Terutama serta ahli delegasi yang lain, sekali gus mencerminkan keakraban hubungan persahabatan yang terjalin serta antara kedua-dua buah negara.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pegawai-Pegawai Kerajaan delegasi Republik Singapura yang mengiringi delegasi Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Respubilk Singapura, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, serta alumni pegawai-pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang pernah mengikuti program di Civil Defence Academy.

