gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI DAN JABATAN-JABATAN DI BAWAHNYA BAGI TAHUN 1448/2026 ANJURAN JABATAN TENAGA MANUSIA DAN PEKERJAAN

05/09/2026

Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya, anjuran Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah diadakan pada hari ini, 23 Rabiulawal 1448H bersamaan dengan 05 September 2026M bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Hadir selaku tetamu kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin Bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Yang Mulia Muhammad Hafiz Nur Adib bin Haji Abdul Manaf, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Seterusnya, acara majlis diserikan dengan Ceramah Khas Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bertajuk “Menghayati Sirah, Menyuburkan Aqidah” yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Penutup yang dipimpin oleh Yang Mulia Muhammad Hafiz Nur Adib bin Haji Abdul Manaf. Turut hadir di majlis tersebut adalah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dikalangan Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung, Yang Mulia Setiausaha Tetap – Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung serta Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.