Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di dalamnya berserta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung telah meneruskan Majlis Tadarus Al-Quran pada hari Sabtu, 10 haribulan Ramadhan 1444H bersamaan dengan 01 haribulan April 2023 bertempat di Masjid Pekan Seria, Daerah Belait.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia, Salminan bin Haji Burut Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat, Awang Mohammad bin Abdullah, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Bukit Sawat, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di dalamnya serta Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Pemangku-Pemangku Ketua Kampung dan Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Brunei dan Muara berserta penduduk kampung sekitarnya.
Majlis dimulakan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim di Kawasan Perpindahan Lorong Tengah Seria dan wakaf berupa barangan elektrik dan tikar sembahyang yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat kepada Yang Mulia Awang Haji Aminorddin bin Hj Md Yussof, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Pekan Seria.
Majlis diteruskan dengan bertadarus Al-Quran dan Bacaan Tahlil serta Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Pekan Seria dan diselajurkan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah.
Majlis ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan suci Ramadhan disamping menjalinkan hubungan yang erat di kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di dalamnya dengan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan pemimpin akar umbi.

