Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-77 Bagi Tahun 2023 telah diadakan pada hari Rabu, 18 haribulan, Zulkaedah 1444 bersamaan dengan 07 haribulan, Jun 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat West Wing, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan yang telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-77 Bagi Tahun 2023.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Do’a Selamat. Seterusnya ucapan alu-aluan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Antara agenda yang dibincangkan di dalam mesyuarat berkenaan termasuklah laporan persediaan acara-acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-77 Bagi Tahun 2023 iaitu Perhiasan Bandar, pintu-pintu gerbang, lampu-lampu cucul, pemasangan ‘Giant Banner’, Kain Rentang dan Vertical Banner; Upacara Pengibaran dan Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam; Majlis Kesyukuran Sembahyan​g Fardhu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaasin, Tahlil dan Do’a Kesyukuran; Istiadat Perbarisan Kehormatan; Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam; Majlis Santap Malam; Majlis Santap Malam Pasukan-Pasukan Beruniform; Penerbitan dan Percetakan Buku Dirgahayu; Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit Yang Lahir pada 15hb. Julai 2023; Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Majlis Khatam Al-Quran 77 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Penuntut-Penuntut Sekolah dan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara; Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar, Grand Chamberlain; Yang Mulia Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai Daerah, Pemangku Pegawai-Pegawai Daerah, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terdiri dari ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-77 Bagi Tahun 2023.

