gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Mesyuarat Majlis Bencana Kebangsaan

18/04/2026

Mesyuarat Majlis Bencana Kebangsaan (MBK) Kali Pertama bagi Tahun 2026 telah diadakan di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan. Turut hadir ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan selaku Timbalan Pengerusi Bersama serta Ahli-Ahli Majlis Bencana Kebangsaan yang terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Kementerian-Kementerian, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan dan wakil agensi-agensi berkepentingan.

Dalam ucapan pembukaan, Yang Berhormat Menteri menekankan bahawa landskap ancaman bencana kini semakin kompleks, termasuk kesan perubahan iklim
dan risiko serantau yang memberi impak kepada Negara Brunei Darussalam. Sehubungan itu, pendekatan Whole of Nation terus diperkukuh bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara melalui perancangan yang lebih bersepadu dan berasaskan data.

Mesyuarat antara lain membincangkan mengenai rancangan pelaksanaan Latihan Bencana Kebangsaan 2026 (LBK-26) yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun ini sebagai platform untuk menguji tahap kesiapsiagaan serta keberkesanan sistem pengurusan bencana negara secara menyeluruh. Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai pembangunan Pelan Tindak Balas Inventori Bencana Kebangsaan (NIDRP) sebagai usaha memperkukuh penyelarasan sumber dan mempercepatkan tindak balas semasa bencana.

Mesyuarat tersebut juga menekankan kepentingan pelaksanaan latihan secara berkala serta penilaian berterusan bagi memastikan sistem pengurusan bencana negara sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum. Mesyuarat turut mendengarkan perkembangan mengenai usaha penaiktarafan pasukan mencari dan menyelamat, Pasukan Bomba dan Penyelamat untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai pasukan yang boleh dikerahkan dalam misi-misi bantuan serantau dan antarabangsa.