Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-77 Bagi Tahun 2023 telah diadakan pada hari Sabtu, 10 haribulan, Ramadan 1444H bersamaan dengan 01 haribulan, April 2023M bertempat di Bilik Mesyuarat West Wing, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-77 Bagi Tahun 2023.
Turut berangkat ke Mesyuarat tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara; dan Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar, Grand Chamberlain; dan juga dihadiri oleh Yang Mulia Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; Yang Mulia Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai-Pegawai Daerah, Pemangku Pegawai-Pegawai Daerah, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Dewan-Dewan Perniagaan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terdiri dari ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-77 Bagi Tahun 2023.
Mesyuarat membincangkan laporan persediaan acara-acara sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-77 Bagi Tahun 2023 iaitu Perhiasan Bandar: pintu-pintu gerbang, lampu-lampu cucul, pemasangan ‘Giant Banner’, Kain Rentang dan Vertical Banner; Upacara Pengibaran dan Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam; Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isya Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Do’a Kesyukuran; Istiadat Barisan Kehormatan; Penerbitan dan Percetakan Buku Dirgahayu; Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata pada Anak-Anak Damit Yang Lahir pada 15 haribulan, Julai 2023; Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di ke empat-empat daerah; Majlis Khatam Al-Quran 77 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Penuntut-Penuntut Sekolah dan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara; Regata Brunei Darussalam; Majlis Ilmu dan Riadah Berbasikal Keputeraan 2023.

