gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

PENANAMAN PADI BUKIT DI PENJARA MARABURONG PERKASA KEMAHIRAN PENGHUNI DAN SOKONG KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

22/10/2026

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh program pemulihan berasaskan kemahiran dan pembangunan modal insan, Jabatan Penjara melalui Bahagian Pemulihan dan Reintegrasi telah melaksanakan Projek Penanaman Padi Bukit di Penjara Maraburong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Hajah Nor Hamidah binti Haji Hamidon, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penjara, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dan Badan Penasihat Syariah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), pegawai-pegawai kanan BIBD, ketua-ketua jabatan, jemputan khas serta pegawai dan kakitangan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Mohd Ramlan bin Haji Md. Jais, Guru Ugama Institusi Penjara Maraburong Fasa III, diikuti dengan acara penanaman padi bukit oleh Tetamu Kehormat sebagai simbolik pelaksanaan projek tersebut. Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh dan selawat oleh Kumpulan Al-Muslihun yang dianggotai oleh penghuni Penjara Maraburong.

Pelaksanaan Projek Penanaman Padi Bukit merupakan sebahagian daripada kerjasama berterusan antara Jabatan Penjara dan BIBD yang memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, pendidikan dan pemerkasaan kemahiran dari kalangan penghuni. Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk menyediakan peluang pembelajaran yang bermakna serta membantu penghuni membina asas yang lebih kukuh bagi menghadapi kehidupan selepas menjalani tempoh hukuman.

Projek yang dilaksanakan di kawasan seluas satu hektar ini melibatkan seramai 14 orang penghuni yang sebelum ini turut menyertai Projek Penanaman Padi Hibrid yang diperkenalkan pada September lalu. Penglibatan berterusan dalam kedua-dua projek tersebut membolehkan para peserta memperluaskan pengetahuan serta pengalaman secara langsung dalam pelbagai aspek pertanian, termasuk penyediaan tapak, penanaman, pengurusan tanaman dan penuaian hasil.

Tanaman padi bukit berkenaan dijangka dapat dituai dalam tempoh kira-kira tiga bulan. Sepanjang tempoh tersebut, para penghuni akan mengikuti latihan amali yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran teknikal di samping memupuk nilai disiplin, tanggungjawab, ketekunan dan semangat kerjasama. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini dijangka mampu meningkatkan keyakinan diri serta membentuk sikap positif yang penting dalam proses reintegrasi ke dalam masyarakat.

Selain Projek Penanaman Padi Bukit dan Padi Hibrid, kerjasama antara kedua-dua pihak turut merangkumi Program Pendidikan Peringkat O Level, latihan vokasional dan teknikal serta Program Green House Fertigasi. Pendekatan yang menyeluruh ini bertujuan memperluaskan akses kepada pendidikan dan pembangunan kemahiran bagi meningkatkan kesiapsiagaan penghuni untuk menyertai semula masyarakat serta menyumbang secara positif kepada pembangunan negara.

Lebih daripada sekadar aktiviti pertanian, projek ini memperlihatkan bagaimana pembelajaran berasaskan amali dapat dimanfaatkan sebagai medium pemulihan yang berkesan. Melalui penglibatan secara langsung dalam pengurusan tanaman dan pengeluaran hasil, para penghuni berpeluang memperoleh kemahiran yang mempunyai nilai ekonomi dan potensi aplikasi yang luas, termasuk dalam bidang pekerjaan dan keusahawanan. Inisiatif ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada bidang pertanian, malah berperanan sebagai platform pembelajaran praktikal yang membantu melengkapkan penghuni dengan kemahiran, nilai dan pengalaman yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan mereka selepas pembebasan.

Pada masa yang sama, inisiatif ini turut mendukung usaha negara untuk memperkukuh keterjaminan makanan dengan menggalakkan aktiviti pertanian dan pengeluaran hasil tempatan. Pendedahan kepada sektor pertanian juga diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai potensi industri berkenaan sebagai salah satu bidang yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Kerjasama antara Jabatan Penjara dan BIBD turut mencerminkan peranan penting sinergi antara sektor awam dan swasta dalam menyokong pembangunan sosial yang mampan. Dengan memberi penekanan kepada pembangunan potensi individu, pembentukan sahsiah dan penyediaan peluang kedua, usaha seumpama ini membantu memperkukuh matlamat pemulihan dan reintegrasi yang lebih berkesan.

Jabatan Penjara akan terus memperkukuh dan memperluas program pemulihan yang berteraskan pembangunan kemahiran, peningkatan kebolehpasaran serta pembangunan diri penghuni bagi membantu mereka membuat peralihan yang lebih lancar kembali ke pangkuan masyarakat. Dengan kerjasama dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, inisiatif ini diharap dapat membentuk individu yang lebih berdaya tahan, berdikari dan yakin untuk membina masa depan yang lebih baik, sekali gus menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan Negara Brunei Darussalam.