Ke arah mempertingkatkan lagi langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan demi kesejahteraan dan keselamatan orang awam, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa hasil dari pemerhatian ke atas pembukaan semula Program Bandarku Ceria pada 07 Jun 2020 serta berpandukan kepada nasihat Kementerian Kesihatan, maka bermula pada hari Ahad, 22 Syawal 1441 bersamaan 14 Jun 2020, pengisian Program Bandarku Ceria adalah terhad kepada aktiviti riadah yang dilakukan secara individu sahaja. Manakala, aktiviti berjaja adalah ditiadakan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan membuat pemantauan berterusan ke atas Program Bandarku Ceria dan memohon kerjasama orang ramai khususnya pengunjung-pengunjung Program Bandarku Ceria supaya akan mematuhi arahan-arahan dan nasihat-nasihat yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan.
-TAMAT-
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Negara Brunei Darussalam
18 Syawal 1441H / 10 Jun 2020M

