Bandar Seri Begawan, 26 Oktober 2026 – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan Sesi Muzakarah di antara Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari Isnin, 15 Jamadilawal 1448 bersamaan 26 Oktober 2026 bertempat di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Sesi Muzakarah tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, manakala Rombongan Ahli-Ahli MMN diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Sesi Muzakarah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Muhd Azrol Alim bin Haji Zaini, Pegawai Pemantau Zon 2, Masjid Daerah Brunei dan Muara.
Sesi Muzakarah tersebut diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Ini diikuti ucapan balas daripada Ketua Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Sesi kali ini dilaksanakan dengan pendekatan Coffee Talk bagi merangsang perbincangan lebih terbuka dan konstruktif. Antara perkara-perkara utama yang disentuh penekanan menangani isu pengangguran dan pembangunan tenaga kerja secara lebih bersepadu, berasaskan tindakan serta outcome yang jelas, khususnya mengambil kira jurang antara jumlah pencari kerja dan peluang pekerjaan berkualiti yang tersedia serta penerimaan tawaran pekerjaan masih kurang memberangsangkan, sekali gus menunjukkan perlunya penelitian terhadap faktor seperti tahap gaji dan kebajikan, kesesuaian pekerjaan, lokasi dan pengangkutan, persekitaran kerja, dan kesediaan dan kesiapsiagaan tenaga kerja.
Perbincangan turut menekankan bahawa isu pekerjaan tidak boleh ditangani secara terasing daripada prestasi dan pertumbuhan ekonomi negara. Justeru itu, usaha mewujudkan pekerjaan berkualiti perlu disokong oleh persekitaran perniagaan dan pelaburan yang lebih kondusif, dasar yang bertindak sebagai pemudah cara, peningkatan Foreign Direct Investment serta pembangunan industri baharu yang mampu menyediakan pekerjaan masa hadapan.
Antara cadangan yang diketengahkan termasuk memperkukuh agenda melalui pelaksanaan upskilling dan reskilling, penyediaan latihan jangka pendek yang menepati keperluan industri, penelitian terhadap nisbah pengambilan pekerja tempatan dan asing, pengukuhan peranan GLC dalam menyediakan pekerjaan berkualiti, sokongan kepada perniagaan dari rumah serta insentif kepada syarikat yang menggaji pekerja tempatan. Turut diberi perhatian ialah keperluan memahami secara lebih mendalam sebab pekerja tempatan berhenti kerja, meningkatkan kebolehpasaran golongan OKU dan graduan, memastikan proses pengambilan terus dilaksanakan secara adil dan telus, serta menilai semula dasar atau syarat yang tidak lagi relevan atau terlalu membebankan.
Bagi penerima bantuan yang berkeupayaan bekerja, pendekatan yang menggalakkan penerima berkeupayaan untuk turut serta dalam pekerjaan/aktiviti produktif sebagai sebahagian daripada tanggungjawab penerima, yang perlu diselaraskan dengan agensi berkaitan bagi memastikan dasar perlindungan sosial berkaitan secara bersepadu.
Bagi penerima bantuan yang berkeupayaan bekerja, pendekatan yang menggalakkan penerima berkeupayaan untuk turut serta dalam pekerjaan/aktiviti produktif sebagai sebahagian daripada tanggungjawab penerima, yang perlu diselaraskan dengan agensi berkaitan bagi memastikan dasar perlindungan sosial berkaitan secara bersepadu.
Sesi muzakarah seumpama ini dihasratkan agar hubungan kerjasama dan persefahaman antara pihak KHEDN dengan Ahli-Ahli MMN akan terus diperkukuh, khususnya dalam menangani isu-isu berkaitan tenaga manusia dan sosial serta menyokong pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara ini.
Turut hadir dalam sesi muzakarah tersebut ialah Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-Ketua Unit di bawah KHEDN.

