gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

SESI MUZAKARAH YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA AWANG HAJI AHMADDIN BIN HAJI ABDUL RAHMAN, MENTERI PENYELARAS BAGI DASAR-DASAR SOSIAL DAN TENAGA MANUSIA DAN MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI BERSAMA PENGHULU-PENGHULU MUKIM DAN KETUA-KETUA KAMPUNG SERTA AHLI-AHLI MAJLIS PERUNDINGAN MUKIM (MPM) DAN AHLI-AHLI MAJLIS PERUNDINGAN KAMPUNG (MPK) BAGI DAERAH TUTONG

28/09/2026

Sesi Muzakarah di antara Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bersama Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung (PMKK) serta AhliAhli Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Ahli-Ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) di Daerah Tutong telah diadakan pada hari Isnin, 16hb Rabiulakhir 1448H bersamaan 28hb September 2026M bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong.

Sesi Muzakarah tersebut merupakan wadah perbincangan dan pertukaran pandangan secara dua hala antara Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan PMKK serta Ahli-Ahli MPM dan MPK mengenai hala tuju dan inisiatif semasa Kerajaan. Sesi ini turut memberi ruang untuk mengongsikan isu dan keperluan penduduk setempat, khususnya berkaitan kemaslahatan dan kesejahteraan masyarakat, termasuk kebajikan golongan asnaf dan penduduk yang memerlukan bantuan.

Sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, PMKK memainkan peranan penting dalam memahami keadaan dan mengenal pasti penduduk kampung yang memerlukan bantuan. Ini membolehkan tindakan dan intervensi awal diambil oleh pihak-pihak berkenaan. Dengan yang demikian, sesi ini juga menjadi platform yang utama bagi PMKK dan Ahli-Ahli MPM dan MPK untuk mengongsikan usaha serta inisiatif yang telah dilaksanakan dan dirancang dalam membantu penduduk yang memerlukan.

Turut hadir di Sesi Muzakarah berkenaan ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dari kalangan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Ahli-Ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK), Pegawai-Pegawai Kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.