gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

THE 114TH SESSION OF THE INTERNATIONAL LABOUR CONFERENCE GENEVA, SWITZERLAND

09/09/2026

Satu delegasi dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) telah menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa kali ke-114 yang telah diadakan pada 08hb., hingga 09hb., Jun 2026 bertempat di Palais Des Nation, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland.

Persidangan pada tahun ini membincangkan laporan Ketua Pengarah ILO bertajuk “A Moment of Choice: Harnessing Artificial Intelligence for Decent Work”, yang menumpukan kepada kesan Kecerdasan Buatan (AI) terhadap masa depan pekerjaan, termasuk keperluan bagi memastikan kemajuan teknologi dapat memperkukuh pekerjaan yang baik, pembangunan kemahiran dan perlindungan pekerja.

Semasa menghadiri persidangan tersebut, Yang Mulia Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menghadiri Sesi Plenari dan seterusnya menyampaikan kenyataan Negara Brunei Darussalam. Dalam kenyataan tersebut, Negara Brunei Darussalam menekankan bahawa Kecerdasan Buatan (AI) hendaklah dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi meningkatkan kesejahteraan pekerja dan memperluaskan lagi peluang pembangunan kemahiran serta kemajuan sosioekonomi yang seimbang, tanpa menjejaskan hak serta perlindungan pekerja.

Kenyataan tersebut turut mengongsikan beberapa usaha Negara Brunei Darussalam dalam mempersiapkan tenaga kerja bagi menghadapi masa depan pekerjaan yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI) melalui beberapa inisiatif dalam mencapai Wawasan Brunei 2035. Perkara yang ditekankan adalah pembangunan tadbir urus digital dan beretika melalui National Labour Management System (NLMS) yang sedang digunapakai pada masa ini bagi tadbir urus pekerja di Jabatan Buruh.

Delegasi Negara Brunei Darussalam juga telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh Kumpulan Asia Pasific (ASPAG) yang telah dipengerusikan oleh Menteri Buruh, Republik Rakyat Bangladesh selaku Penyelaras Kumpulan ASPAG. Mesyuarat berkenaan antara lain telah membincangkan usaha-usaha Negara-Negara Anggota ASPAG dalam menangani isu perburuhan di negara masing-masing serta usaha dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi isu-isu perburuhan dan pekerjaan.

Turut hadir semasa mesyuarat tersebut, Puan Yang Terutama Dayangku Hajah Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee, Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland; Pegawai-Pegawai daripada Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Buruh; Yang Mulia Haji Alimen bin Haji Ja’afar, Pemilik Al-Abqari Travel and Tours dan Alimen Enterprise, selaku wakil Majikan daripada BIMP-EAGA Business Council dan Ahli Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD); dan Yang Mulia Jang Tracy Ramantan, Pegawai Kanan Sumber Manusia, Jerudong Park Medical Centre selaku wakil pekerja daripada Human Resource Society.  

Melalui persidangan ini, Negara Brunei Darussalam telah menegaskan komitmen berterusan negara dalam mendokong agenda bagi pekerjaan yang layak (decent work), perlindungan dan pembangunan tenaga kerja yang berdaya tahan, di samping memperkukuh kerjasama bersama pihak ILO dan Negara-Negara Anggota dalam menangani cabaran di dalam dunia pekerjaan yang dinamik.