Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke 8th APEC Human Resources Development Ministerial Meeting (8th APEC HRDMM) yang berlangsung pada 20 – 22 September 2026 di Nanjing, Republik Rakyat Cina.
Mesyuarat 8th APEC HRDMM yang dianjurkan oleh Republik Raykat Cina selaku Pengerusi APEC 2026 telah menghimpunkan Menteri-Menteri APEC HRD dari Australia; Kanada; Republik Chile; Republik Rakyat Cina; Hong Kong, Republik Rakyat Cina; Indonesia; Jepun; Malaysia; New Zealand; Peru; Republik Filipina; Persekutuan Rusia; Singapura; Republik Korea; Chinese Taipei; Thailand; Amerika Syarikat dan Viet Nam bagi membincangkan hala tuju kerjasama serantau dalam memodenkan pembangunan sumber manusia serta menangani cabaran pasaran buruh global. Dengan tema “Modernizing Human Resources Development for A Stronger Asia-Pacific Community”, mesyuarat berkenaan menumpukan kepada tiga (3) teras utama iaitu (i) menjana pekerjaan berkualiti dan inklusif; (ii) memperkasa kemahiran digital dan vokasional dan (iii) memperkukuh sistem perlindungan yang adaptif. Antara hasil utama mesyuarat ialah pengesahan Penyata Bersama oleh Menteri-Menteri HRD APEC, yang menggariskan visi bersama untuk memodenkan dasar tenaga kerja, meluaskan latihan kemahiran digital dan menyesuaikan sistem keselamatan sosial mengikut perubahan demografi.
Semasa sesi pertukaran pandangan, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengetengahkan usaha Negara Brunei Darussalam dalam memodenkan pembangunan tenaga kerja menerusi perancangan tenaga manusia berasaskan data, latihan berpandukan industri dan pengukuhan perlindungan sosial. Ke hadapan, Negara Brunei Darussalam akan terus menyokong kerjasama serantau APEC dalam membangunkan ekosistem kemahiran yang responsif, memperkukuh laluan ke alam pekerjaan, dan memanfaatkan teknologi demi pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Mesyuarat 8th APEC HRDMM menekankan komitmen memperkasa pembangunan sumber manusia melalui pensejajaran dasar pekerjaan dengan pertumbuhan ekonomi serta melindungi pekerja dalam melahirkan bentuk pekerjaan baharu, serta mengambil kira peralihan tenaga kerja yang terancang dalam menghadapi revolusi AI. Mesyuarat turut menegaskan pelaburan modal insan menerusi latihan vokasional sepanjang hayat, program perantisan yang berkualiti, pemerkasaan literasi digital dan pengemaskinian piawaian pekerjaan. Di samping itu, tumpuan juga diberi kepada pemodenan sistem perlindungan sosial yang adaptif dan berasaskan teknologi digital bagi mendepani cabaran perubahan demografi.
Menjelang persidangan peringkat Menteri, 51st APEC HRD Working Group Meeting and related meetings telah diadakan pada 16–20 September 2026. Mesyuarat membincangkan keutamaan strategik APEC dalam pembangunan sumber manusia, perkembangan projek serantau, pelan kerja rangkaian APEC HRDWG yang meliputi pembangunan kapasiti, pendidikan, perburuhan dan perlindungan sosial serta pengukuhan kerjasama rentas sektor.
Penglibatan Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat APEC HRD mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama serantau. Selain menjadi rujukan dalam pembentukan dasar serta strategi negara, terutamanya dalam memperkukuh latihan berasaskan tempat kerja serta kerjasama antara pihak berkepentingan dalam menangani cabaran pasaran kerja, platform ini turut memberi peluang kepada Negara Brunei Darussalam untuk menyumbang pandangan serta berkongsi pengalaman dalam usaha memperkasa tenaga kerja yang dinamik, inklusif dan berdaya saing.

