Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni AlMarhum Sultan Haji Omar Ali’ Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 bagi Tahun 2026 telah diadakan pada hari Rabu, 15 Muharram 1448H bersamaan dengan 01 haribulan Julai 2026 bertempat di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Upacara penerimaan dan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam berukuran 3.7m x 7.5m telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Tetamu Kehormat Majlis, yang diikuti dengan penaikan dan pengibaran bendera. Majlis diteruskan dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran 2.5m x 1.2m dan Poster-Poster Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 bagi Tahun 2026 kepada Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Pemangku Pegawai Daerah Temburong serta diikuti penyerahan poster-poster kepada wakil-wakil Kementerian-Kementerian.
Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam di daerah-daerah juga telah diadakan dan diteruskan dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada PenghuluPenghulu Mukim di daerah masing-masing pada sebelah petang. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis bagi Daerah Brunei dan Muara ialah Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Timbalan Menteri Kewangan; bagi Daerah Belait ialah Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri; bagi Daerah Tutong ialah Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Timbalan Menteri Pembangunan dan bagi Daerah Temburong ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan.
Dengan berkibarnya Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ini menandakan bermulanya pengibaran bendera peribadi masing-masing bagi Pengiran-Pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran; dan bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan.


0 Comments