1. Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-77 bagi Tahun 2023 telah diadakan pada hari Sabtu, 12 haribulan Zulhijjah 1444 bersamaan dengan 01 haribulan Julai 2023 bertempat di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
2. Upacara penerimaan dan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam berukuran 3.7mx7.5m telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Tetamu Kehormat Majlis, yang mana seterusnya diikuti dengan penaikan dan pengibaran bendera. Majlis juga diteruskan dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran 2.5mx1.2m dan Poster-Poster Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-77 bagi Tahun 2023 kepada Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pegawai Daerah Temburong dan Pemangku Pegawai-Pegawai Daerah Tutong dan Belait.
3. Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam di daerah-daerah juga diadakan dan diteruskan dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Penghulu-Penghulu Mukim di daerah berkenaan sejurus selepas Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis bagi Daerah Brunei dan Muara ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan; bagi Daerah Belait ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap, (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri; bagi Daerah Tutong ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan bagi Daerah Temburong ialah Yang Mulia Pemangku Setiausaha Tetap, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri.
4. Dengan berkibarnya Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ini menandakan bermulanya pengibaran bendera peribadi masing-masing bagi Pengiran-Pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran; dan Bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai dan juga termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan sehingga 31 haribulan Julai 2023.

