gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 Bagi Tahun 2025

23/08/2025

Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali’ Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 bagi Tahun 2025 telah diadakan pada hari Selasa, 05 Muharram 1447H bersamaan dengan 01 haribulan Julai 2025 bertempat di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Upacara penerimaan dan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam berukuran 3.7mx7.5m telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Tetamu Kehormat Majlis, yang diikuti dengan penaikan dan pengibaran bendera. Majlis juga diteruskan dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran 2.5mx1.2m dan Poster-Poster Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 Tahun 2025 kepada Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pemangku Pegawai Daerah Temburong dan Pemangku Pegawai-Pegawai Daerah Belait dan Tutong.

Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam di daerah-daerah juga diadakan dan diteruskan dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Penghulu-Penghulu Mukim di daerah masing-masing sejurus selepas Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis bagi Daerah Brunei dan Muara ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza Bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; bagi Daerah Belait ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian Bin Haji Sabtu, Timbalan Menteri (Sekuriti Dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri; bagi Daerah Tutong ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohammad Azmi Bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga), Jabatan Perdana Menteri dan bagi Daerah Temburong ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin Bin Haji Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi).

Dengan berkibarnya Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ini menandakan bermulanya pengibaran bendera peribadi masing-masing bagi Pengiran-Pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran; dan Bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai dan termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan.

Turut diselajurkan adalah Majlis Penyerahan Poster Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 Bagi Tahun 2025 kepada wakil-wakil Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan yang diadakan bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.