Sign In
Web Creator

MAJLIS PERBARISAN SEMPENA SAMBUTAN HARI BOMBA JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT KE-63, TAHUN 2023

WhatsApp Image 2023-05-24 at 15.32.25.jpeg

​​

Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Ke-63, Tahun 2023 telah diadakan pada hari Rabu, 04 haribulan, Zulkaedah 1444 bersamaan dengan 24 ​haribulan, Mei 2023 bertempat di Padang Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lambak Kanan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. 
 
Majlis telah dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat oleh Tetamu Kehormat. Majlis seterusnya diikuti dengan ucapan dari Tetamu Kehormat yang menyentuh mengenai usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan kesiapsiagaan dalam menangani kebakaran antaranya melalui penambahan kenderaan bomba yang mana Kontrak Perjanjian pajak sewa bagi pembekalan 30 buah jentera bomba jenis Water Tender Ladder (WRL) dengan Brunei Engineering, Logistics dan Training Solutions Sdn Bhd (BELTS) telah dimeterai. Selain itu, peruntukan kewangan telah disediakan untuk mengganti dan membaikpulih pili-pili bomba iaitu sebagai usaha perlaksanaan pemadaman kebakaran yang lebih efisien. Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal  Dalam Negeri juga menyentuh mengenai usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui program kesedaran keselamatan yang tidak hanya memfokuskan kepada pegawai dan anggota Kerajaan, malahan juga pihak swasta, orang awam, pelajar-pelajar dan para pemimpin dari akar umbi yang mana telah terbukti kejayaannya dalam melahirkan komuniti masyarakat yang proaktif dan responsif dalam membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat melaksanakan tindakan awal bagi memadam dan juga pengosongan bangunan (evacuation) sebelum tiba pasukan Bomba dan Penyelamat. 

Semasa majlis berkenaan juga, satu demonstrasi telah dibuat oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari cawangan Balai Bomba Lambak yang telah menunjukkan demonstrasi teknik memadam kebakaran kenderaan dengan menggunakan dua teknik iaitu menggunakan fire blanket dan memadam api menggunakan air dari jentera bomba.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Mulia Timbalan Pegawai Balai Haji Yusri bin Haji Awang Ahmad.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.


Created at 25/05/2023 2:55 PTG by Nurul Hafizahwati binti Haji Hamidi
Last modified at 25/05/2023 2:58 PTG by Nurul Hafizahwati binti Haji Hamidi
Berita Terkini