Majlis Membaca Surah Yaasin, Ratib Al-Attas, Selawat Tafrijiah Dan Doa
Kesyukuran Sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang
Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Kepada Bandar Seri Begawan Kali Ke-53 Bagi Tahun 2023
telah diadakan pada hari Rabu, 18 haribulan Rabiulawal 1445 bersamaan dengan 04
haribulan Oktober 2023 bertempat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri
Begawan.
Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji
Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Bacaan Surah Yaasin, Ratib Al-Attas di majlis
tersebut dipimpin
oleh Yang Mulia Mohd Hasnal bin Haji Mohammad, Imam Tingkat I Masjid Omar ‘Ali
Saifuddien. Sementara Selawat Tafrijiah dan Doa Kesyukuran dibacakan oleh Yang Mulia Awang
Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Hadir sama di majlis
tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di kalangan
penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, Yang Mulia Setiausaha
Tetap-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal
Dalam Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai
dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di
dalamnya serta Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung daripada
keempat-empat daerah.
Sebagai mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Sir Muda Omar 'Ali
Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dalam
memajukan dan memodenkan Negara Brunei Darussalam, Sambutan Memperingati Hari
Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Kepada Bandar Seri Begawan ini disambut
pada 04 haribulan Oktober setiap tahun. Bandar Brunei mula bertukar nama pada 04
haribulan Oktober 1970 dengan ditukar menjadi Bandar Seri Begawan. Pada tahun
ini ianya disambut untuk kali yang ke-53 tahun.
Kawasan perbandaran Bandar Seri Begawan telah diperluaskan dari 1,287
hektar (12.87 kilometer persegi) kepada 10,036.24 hektar (100.36 kilometer
persegi) mulai 1 Ogos 2007. Peluasan perbandaran ibu kota telah diperkenankan
oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan
telah diumumkan secara rasminya oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada 19
Julai 2007.
Sepanjang tempoh pembangunan Ibu Negara yang dulunya dikenali sebagai
Bandar Brunei, berbagai-bagai bentuk kemajuan dan perkembangan pesat khususnya
Bandar Seri Begawan telah dicapai dalam pelbagai aspek seperti prasarana,
infrastruktur, perhubungan, keagamaan, pendidikan, perekonomian, kesejahteraan,
perniagaan, keselamatan, sosial dan sebagainya.