Majlis Makan Malam bagi Menteri-Menteri
ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana Kali Ke-12 (12th AMMDM) dan Mesyuarat-Mesyuarat
Berkaitan telah diadakan di The Empire Brunei, Jerudong.
Majlis Makan Malam telah
dihoskan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul
Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Negara Brunei Darussalam selaku
Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana Kali
Ke-12 (12th AMMDM) pada tahun ini. Yang Berhormat Menteri dalam ucapannya telah
mengalu-alukan kehadiran para-para
menteri dan delegasi ke Negara Brunei Darussalam, yang mana kehadiran Menteri-Menteri
ASEAN, Timor-Leste selaku Negara Pemerhati, Menteri-Menteri dari Republik
Rakyat China, Jepun dan Republik Korea selaku rakan dialog, Sekretariat ASEAN, Pusat
AHA dan para delegasi adalah melambangkan perpaduan di rantau ini.
Yang Berhormat Menteri turut
memperingati bahawa tahun ini adalah merupakan Ulang Tahun Ke-20 Mesyuarat
Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan seterusnya merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak di atas sumbangan dan kerjasama
yang kolektif dan kukuh ke arah mencapai hasrat AMMDM untuk menjadi rantau ini
sebagai peneraju global dalam pengurusan bencana.
Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN
Mengenai Pengurusan Bencana ini juga berfungsi
sebagai platform untuk menggalakkan kerjasama dan penyelarasan dalam pengurusan
bencana di kalangan Negara Anggota ASEAN yang memfokuskan kepada pelbagai
penglibatan yang bertujuan untuk meningkatkan daya tahan dan keupayaan tindak
balas terhadap bencana di seluruh rantau ASEAN. Perjumpaan seperti ini adalah
merupakan peluang berharga untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh di kalangan
para menteri dan delegasi untuk bertukar-tukar pandangan dan untuk memupuk persekitaran
yang kondusif melalui dialog dan rangkaian berterusan di kalangan Negara
Anggota ASEAN dalam pengurusan bencana.
Mesyuarat yang berlangsung
sepanjang minggu ini membawakan tema ‘Building a Resilient ASEAN Through
Inclusive and Sustainable Disaster Recovery’. Tema ini menggariskan
komitmen Negara Brunei Darussalam dan Negara Anggota ASEAN dalam memupuk
pendekatan inklusif dan mampan bagi pemulihan bencana terutamanya dalam
memastikan semua lapisan masyarakat yang terjejas tidak terlepas pandang dan
ketinggalan dalam pengurusan bencana. Selain Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai
Pengurusan Bencana Kali Ke-12 (12th AMMDM), beberapa mesyuarat sampingan juga
akan dilaksanakan iaitu Mesyuarat Persidangan Parti Kali Ke-13 (13th CoP),
Mesyuarat AMMDM Bersama Republik Rakyat China Kali Ke-4, Mesyuarat ACDM Bersama
Jepun Kali Ke-4, Mesyuarat ACDM Bersama Republik of Korea Kali Ke-3 dan Majlis Penandatanganan
Memorandum of Intent (MOI) serta Pelancaran beberapa Projek ASEAN.