1. Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit
Yang Lahir pada 15 haribulan Julai 2025 Sempena Sambutan Perayaan Ulang
Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 Tahun Bagi
Tahun 2025 telah diadakan pada hari Rabu, 20 haribulan Muharram 1447
bersamaan dengan 16 haribulan Julai 2025 bertempat di Hospital Raja Isteri
Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Daerah
Brunei dan Muara dan Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait.
2. Pada tahun ini seramai 16 anak damit telah dilahirkan pada 15 haribulan Julai
2025 dimana 12 anak damit telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak
Saleha, tiga anak damit telah dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB) dan
seorang anak damit telah dilahirkan di Jerudong Park Medical Centre. Anak damit
pertama telah dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha manakala
anak damit terakhir telah dilahirkan di Jerudong Park Medical Centre.
3. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha
ialah Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli, isteri
kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Sementara itu, di Jerudong Park
Medical Centre, hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Datin
Hajah Binanun binti Haji Bungsu, isteri kepada Yang Berhormat Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan. Bagi Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), hadir
selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Datin Fadzlin binti Hashim, isteri
kepada Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
4. Pada Majlis berkenaan, Tetamu-Tetamu Kehormat Majlis seterusnya
menyampaikan cenderamata berupa hamper barangan keperluan anak damit
dan wang yang dikreditkan ke dalam Akaun Simanja sumbangan Perbadanan
Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB). Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian
Berhad berserta anak-anak syarikatnya turut memberikan sumbangan Pelan Takaful
Siswa yang bernilai $240.00 bagi tempoh setahun yang telah disampaikan oleh
Tetamu-Tetamu Kehormat Majlis. Turut disampaikan adalah potret kenangan
ibu-bapa dengan anak damit sumbangan daripada Jawatankuasa Kebangsaan
Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam Yang Ke-79 Tahun bagi Tahun 2025.
5. Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) juga turut mengambil bahagian dengan
memberikan sumbangan cenderahati berupa produk Satu Kampung Satu Produk
(1K1P) kepada Tetamu-Tetamu Kehormat Majlis dan jemputan-jemputan di
ketiga-tiga hospital berkenaan.

