Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam dalam satu Lawatan Kerja Rasmi ke Malaysia bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua buah negara.
Dalam rangka lawatan tersebut, Yang Berhormat Menteri telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Perbincangan memfokuskan kepada pemerkasaan sinergi dalam bidang pengurusan bencana, merangkumi aspek kesiapsiagaan, mekanisme tindak balas, latihan bersepadu, serta penyelarasan operasi di kawasan rentas sempadan.
Yang Berhormat Menteri turut merakamkan penghargaan atas sokongan padu Kerajaan Malaysia menerusi Pasukan SMART dalam memperkasa keupayaan Urban Search and Rescue (USAR) negara, sekali gus menyokong persediaan Brunei Darussalam ke arah pencapaian INSARAG External Classification (IEC).
Delegasi turut berkesempatan meninjau keupayaan operasional di Markas Pasukan SMART, Puchong, yang meliputi aset penyelamatan, Pusat Simulasi Bencana, serta Pusat Kawalan Operasi Bencana Negara (NDCC). Lawatan ini mencerminkan komitmen jitu Negara Brunei Darussalam dalam membangunkan ekosistem pengurusan bencana yang lebih proaktif, berdaya tahan, dan bersepadu demi keselamatan serantau.